Kerajaan Sedia Kertas Putih Kegiatan Keganasan Libatkan Rakyat Malaysia

Kuala Lumpur – Kerajaan sedang menyediakan Kertas Putih tentang ancaman kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata mengikut statistik polis, sebanyak 167 rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan militan di luar negara, sejak Dis 2001 sehingga kini.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada persidangan dewan, Ahmad Zahid berkata daripada jumlah itu, seramai 39 orang melibatkan diri dalam kumpulan Islamic State (IS) di Iraq dan Syria.

“Walaubagaimanapun, saya tidak bercadang untuk mendedahkan secara terperinci maklumat penglibatan mereka kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menerusi Jabatan Imigresen boleh menyenaraihitam pihak yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan dengan memasukkan nama mereka ke dalam Senarai Syak jabatan itu bagi mengesan pergerakan mereka di pintu masuk utama seluruh negara.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) turut menjalinkan kerjasama yang rapat dengan agensi perisikan asing untuk mengekang permasalahan ini.

“Usaha jalinan ini termasuklah melalui kerjasama berterusan di samping bertukar-tukar maklumat risikan dengan agensi keselamatan luar, khususnya negara-negara Asean,” katanya.

Ahmad Zahid berkata PDRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang disyaki boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Sekiranya terdapat bukti mereka terlibat di dalam aktiviti militan, tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah.

“Ancaman keselamatan oleh kumpulan militan Sulu telah disedari sebelum 2008 lagi dan ia dikategorikan sebagai ancaman dalam negeri.

“Maka di atas dasar itu PDRM bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani permasalahan tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang).

Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah, Hishammuddin berkata ATM menempatkan pasukan keselamatan di tempat-tempat strategik.

Ini bukan sahaja untuk menangani ancaman kumpulan militia Sulu, bahkan terhadap semua ancaman keselamatan yang mungkin ada. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.