Kampung Chubadak: Pemaju Dan Pemilik Rumah Bergaduh

Kuala Lumpur – Pemaju dan beberapa orang pekerja kontraktor hari ini cuba merobohkan rumah penduduk di Kampung Chubadak Tambahan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Chubadak Tambahan, Ramlee Ahmad berkata, seorang wakil daripada pihak terbabit yang hanya dikenali sebagai Sidek mendakwa mahkamah telah mengeluarkan perintah untuk mengosongkan rumah milik pasangan warga emas di kampung berkenaan.

Menurutnya, pemaju hadir bersama pekerja kontraktor dan cuba untuk merobohkan rumah tersebut.

“Apabila pemaju hendak merobohkan rumah itu, berlaku perselisihan faham antara penduduk setempat bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir bagi menyatakan sokongan,” katanya.

Sementara itu, dalam insiden terbabit, tiga aktivis mahasiswa telah ditahan kerana cuba menghalang kerja-kerja perobohan tersebut.

Seorang daripadanya telah dibebaskan manakala dua lagi dibawa ke Balai Polis Sentul untuk tindakan lanjut.

Sebelum kejadian berlaku, persetujuan dikatakan telahpun dicapai antara pemaju dengan tuan rumah untuk merobohkan rumah tersebut tanpa menggunakan jentera jentolak bagi menghormati tuan rumah.

Bagaimanapun, pemaju kemudiannya didakwa enggan berbuat demikian dan merobohkan rumah tersebut menggunakan jentolak hingga menimbulkan suasana tegang.

Menurut Ramlee, tuan rumah terbabit telah tinggal di kampung itu sejak sekian lama dan diberi kebenaran untuk mendiami tanah terbabit dari Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1962.

Malah katanya, tuan rumah terbabit turut mendapat surat daripada mahkamah yang menyatakan bahawa dia bukan penduduk setinggan di kawasan itu.

“Pihak pemaju sepatutnya akur dengan perintah mahkamah kerana mahkamah mengatakan mereka bukan penduduk setinggan dan surat itu ada pada kami.

“Wakil mahkamah yang datang pun bagi tahu mahkamah keluarkan perintah untuk mengosongkan sahaja,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Halim Hamid, 76, berkata dia tinggal di kampung terbabit sejak 1964 bersama isterinya, Wahidah Mat Salleh, 72, bersama anak, menantu dan empat orang cucunya.

Beliau berkata, selepas 50 tahun tinggal di sini rumahnya dirobohkan Jun lalu sebelum tinggal di dalam bangsal tempat letak kereta.

“Dulu dah roboh, saya bina balik dan sekarang roboh lagi dan kami pun tak tahu nak tinggal di mana lagi.

“Sejak rumah dirobohkan, saya tidak menerima apa-apa pampasan seperti yang didakwa pihak pemaju,” katanya.

Menurutnya, dia diberi rumah sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.

“Rumah ini pun kena bayar sewa sebanyak RM125 sebulan. Rumah yang diberi kecil. Letak barang pun dah penuh macam mana nak duduk sebab barang banyak sebab tu pakcik letak barang sahaja di sana dan tinggal dalam bangsal letak kereta.

“Mereka bagi tahu ada pampasan sebanyak RM7,000 tetapi sebenarnya itu hanya kos untuk bayar sewa bulanan sehingga habis saya kena bayar sendiri,” katanya.

Sementara itu, wakil pemaju yang hadir di tempat kejadian enggan memberi sebarang kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusami ketika dihubungi berkata, petang tadi persetujuan telahpun dicapai antara pemaju dan tuan rumah untuk merobohkan rumah tersebut tanpa menggunakan jentera dan pihak pemaju turut menjanjikan bayaran pampasan berjumlah RM10,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.