Final Piala Malaysia JDT vs Pahang Dijamin Berjalan Lancar

Kuala Lumpur – Polis memberi jaminan keselamatan terhadap perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata pihaknya akan memastikan jumlah anggota keselamatan yang bertugas pada malam perlawanan itu nanti akan mencukupi dan ditempatkan di lokasi yang sewajarnya.

Bagaimanapun, beliau belum dapat memastikan berapa ramai anggota yang akan ditempatkan di stadium tersebut dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat yang akan diadakan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan pada perlawanan itu kerana kita akan memastikan jumlah anggota yang cukup untuk memantau perjalanan perlawanan tersebut hingga tamat.

“Begitu juga dengan kawalan terhadap aliran trafik yang akan dilakukan oleh unit trafik dalam mengawal keadaan lalu lintas di sekitar stadium,” katanya kepada The Rakyat Post pada Selasa.

Kok Sin berkata bukan sahaja pada perlawanan Piala Malaysia pada Sabtu ini bahkan, pihaknya sentiasa bersedia dan akan menempatkan keanggotaan pasukan keselamatan yang mencukupi dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan di Bukit Jalil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.