Cubaan Rogol: Bekas Atase Tentera Dibenarkan Diikat Jamin

Wellington – Mahkamah New Zealand hari ini, membenarkan bekas atase tentera Malaysia, Muhammad Rizalman Ismail yang diekstradisi ke negara itu diikat jamin.

Kebenaran diberikan selepas peguambelanya berjaya berhujah yang tertuduh tidak pernah berhasrat melarikan diri dan meninggalkan negara itu menggunakan imuniti diplomatiknya sebelum ini.

Muhammad Rizalman sebelum ini berhadapan tuduhan cubaan merogol dan mencuri di Mahkamah Wilayah Wellington.

Rizalman didakwa menyerang Tania Billingsley, 21 tahun, di kediamannya pada Mei lalu.

Mahkamah turut meletakkan beberapa syarat ketat ketika membenarkan ikat jamin termasuk, perintah berkurung, tidak menghubungi individu yang mendakwa menjadi mangsa, menyerahkan pasportnya dan sentiasa di bawah pemerhatian dua wakil pegawai tentera Malaysia.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Dia sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu sebelum kembali ke New Zealand Jumaat lalu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.