BAM Dan KBS Perlu Tubuh Jawatankuasa Khas

Kuala Lumpur – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Khas jika ujian sampel B pemain badminton negara positif.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penubuhan jawatankuasa itu sebagai persiapan dan penting bagi memastikan segala maklumat berkaitan isu doping itu dapat diselaraskan.

“Jawatankuasa khas ini memang patut (ditubuhkan) sebab kita dimaklumkan, pada 4 atau 5 Nov ini ujian untuk sampel kedua (sampel B) akan dibuat. Kalau ujian itu negatif maka tiada masalah. Cuma dengan adanya jawatankuasa ini, dapat kita tahu dengan lebih teliti apa sebenarnya berlaku.

“Ia amat penting kerana apabila kita buat siasatan nanti dan segala persiapan dibuat…sekiranya ujian kedua positif, kita boleh merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan dan proses itu memerlukan jawatankuasa khas daripada BAM dan KBS,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di sini, pada Isnin.

Khairy diminta mengulas pengumuman BAM semalam untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Timbalan Presidennya Datuk Norza Zakaria bagi membantu mempertahan pemainnya yang didapati gagal ujian doping baru-baru ini.

Semalam, Norza turut mengesahkan bahawa bahan terlarang yang diambil atlet terbabit ialah ‘dexamethasone’ iaitu sejenis ubat penahan sakit untuk kecederaan yang dialaminya.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan laporan media tempatan yang mendedahkan seorang atlet tersohor negara yang meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa didapati gagal dalam ujian doping sampel A dan positif menggunakan bahan terlarang.

Insiden itu didakwa berlaku ketika pemain berkenaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.