Tommy Thomas Perlu Letak Jawatan Peguam Negara – Dr Asri

PETALING JAYA – Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menggesa peguam negara meletak jawatan, selepas Mahkamah Koroner Shah Alam semalam memutuskan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat diserang dan dipukul lebih dua individu.

“Demi menjaga maruah Malaysia dan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara ini, mengelakkan ketegangan antara kaum, menghindari salah guna kedudukan dan kuasa, maka Tommy Thomas wajib berundur dari jawatan beliau sebagai peguam negara,” tulisnya di Facebook semalam.

Pada 3 April lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan satu afidavit yang disahkan bekas timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah mengatakan kematian Adib bukan kerana dipukul mana-mana individu.

Susulan itu, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lalu memfailkan permohonan perintah komital terhadap Thomas yang didakwa menghina mahkamah kerana mengeluarkan afidavit itu menyatakan punca kematian Adib sebelum koroner membuat keputusan.

Mahkamah Koroner Shah Alam kemudiannya membenarkan permohonan komital yang difailkan bapa Adib diteruskan ke atas Thomas kerana keluarga Adib berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Thomas menukar notis rayuan jenayah kepada rayuan sivil berhubung prosiding komital itu dan mengarahkan perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner diteruskan pada 22 Nov ini.

Terdahulu, Pemuda PAS dan Umno turut menggesa Thomas meletak jawatan atau bercuti selepas koroner memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah.

Ia selepas Rofiah Mohamad merumuskan kecederaan “lung chest trauma” yang dialami Adib berpunca daripada perbuatan jenayah dilakukan “dua atau lebih individu” yang “menarik, menghentak dan mengheret arwah”.

Inkues Adib bermula 11 Feb lalu susulan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Rofiah mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendapati keterangan 30 saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah susulan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis lalu, selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara. – FMT

Lain-lain berita;

Bekas Komando Tak Menyesal Hilang Kerja Selepas Bantu Adib

Siti Kasim Dakwa Arwah Adib Bukan Dipukul Perusuh

Inkues Adib: Hakim Tolak Rayuan, Prosiding Kes Peguam Negara Hina Mahkamah Diteruskan

Inkues Adib: Saksi Nampak Seseorang Dipukul dan Dipijak Sekumpulan Perusuh

Selepas Dikecam Ramai, Ahli Parlimen DAP Tarik Diri Bela Suspek Jual MyKad

Peguam Keluarga Adib Harap Tiada Lagi Campur Tangan Peguam Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.