UMNO Lebih Kukuh & Kuat

KUALA LUMPUR: UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih kukuh dan kuat bukannya bakal runtuh seperti dakwaan beberapa pihak.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob, berkata UMNO kini kembali kepada asal apabila tidak lagi berkuasa.

Katanya, ahli semakin faham dan membiasakan diri dengan kedudukan sebagai parti pembangkang.

“Dengan sumber kewangan yang terhad, parti kembali kepada cara asal dan ahli tidak lagi dimanjakan dengan wang,” katanya ketika dihubungi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membayangkan UMNO akan mengalami kejatuhan.

Berucap pada satu majlis di New York semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mustapha berkata, keruntuhan yang disebut Dr Mahathir itu kerana Perdana Menteri mahu UMNO hancur.

Katanya, kenyataan itu adalah strategi dalam pelannya mahu ‘menyahkan’ UMNO bagi mengukuhkan kedudukan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang tidak kuat berbanding parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir menggunakan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengugut dan menekan pemimpin UMNO sehingga ada yang keluar parti,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan beberapa tokoh pemimpin keluar parti bukannya menyebabkan ahli parti keluar beramai-ramai meninggalkan parti.

“Malah, tiada cawangan parti yang dibubarkan. Maka dakwaan Dr Mahathir hanya cakap-cakap beliau yang ada cita-cita ‘mencuri’ pemimpin UMNO untuk menguatkan BERSATU,” katanya.

Info

Pemimpin UMNO keluar parti

* Datuk Seri Mustapa Mohamed

* Datuk Seri Anifah Aman

* Datuk Mas Emieryati Samsudin- selepas pemilihan UMNO

* Datuk Dr Noor Azmi Ghazali – selepas pemilihan UMNO

* Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – selepas pemilihan UMNO

* Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.