Ujian Kekalahan Ini Peringatan Untuk UMNO Bangkit Lebih Baik – Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Persidangan Agung UMNO 2018 bermula esok perlu dijadikan titik tolak untuk ahli dan pemimpin UMNO bergerak ke hadapan dan tidak lagi bersedih dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang merupakan Naib Presiden parti itu juga mahu semua pihak dalam UMNO menjadikan kekalahan tersebut sebagai iktibar dan peringatan untuk bangkit kembali dengan lebih baik.

“Cukuplah kita berkabung dan bersedih atas kekalahan ini. Ambil iktibar kekalahan ini adalah ujian dan takdir Ilahi.

“Sebagai parti politik, mungkin Allah menguji kita dengan satu musibah besar ini sebagai peringatan dan kifarah supaya kita dapat bangkit sebagai sebuah parti yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen yang meninggalkan parti baru-baru ini, beliau menjelaskan senario itu berlaku kerana ada antaranya disebabkan tekanan pihak pemerintah.

“Oleh kerana kebanyakan kita tiada pengalaman pembangkang secara total, maka ramailah memilih jalan mudah menyeberang ke pihak lain yang memegang kuasa. Masing-masing ada dorongan tersendiri. Ada sebab peribadi dan ada sebab perjuangan.

“Ada kerana ditekan pihak pemerintah sehingga terpaksa keluar parti. Ada yang memilih parti pemerintah kerana kelangsungan hidup. Namun tidak dinafikan ada juga menyertai parti pemerintah kerana berpandangan agenda Islam dan Melayu harus dilaksanakan dari dalam sana.

“Kita yang tinggal harus mula bertanya, apakah kita akan terus berhiba, mengenang nasib lalu dan berulang-ulang bercakap soal kekurangan dan kesilapan kita; atau mula bangkit menggenggam bara api sehingga menjadi arang,” katanya.

Mahdzir turut menyeru ahli UMNO terus komited dengan perjuangan walaupun tidak lagi menjadi kerajaan.

“Ingatlah walaupun bukan kerajaan kita adalah “single party” yang memenangi kerusi terbanyak Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Berjuta orang masih menyokong kita. Sokongan ini harus diterjemahkan dengan satu perjuangan yang lebih bersungguh dan komitmen yang tinggi,” katanya lagi. – SuaraTV

Berikut kenyataan penuh Datuk Seri Mahdzir Khalid

UMNO SEBUAH PERJUANGAN

1. Setelah sekian lama kita menjadi parti pemerintah, hari ini kita akan mengadakan Perhimpunan Agung sebagai sebuah parti pembangkang. Bagi kebanyakan kita, mungkin juga semua yang masih ahli, ini adalah pengalaman pertama sebagai ahli UMNO dalam keadaan hilang kuasa di Persekutuan.

2. Pada 1946, UMNO ditubuhkan sebagai sebuah parti pembangkang dalam kerajaan Penjajah British. Sehingga kita menang pilihan raya pertama pada 1955, kita adalah pembangkang kepada kerajaan. Kita adalah pembangkang kepada Malayan Union.

3. Oleh kerana kebanyakan kita tiada pengalaman pembangkang secara total, maka ramailah memilih jalan mudah menyeberang ke pihak lain yang memegang kuasa. Masing-masing ada dorongan tersendiri. Ada sebab peribadi dan ada sebab perjuangan.

4. Ada kerana ditekan pihak pemerintah sehingga terpaksa keluar parti. Ada yang memilih parti pemerintah kerana kelangsungan hidup. Namun tidak dinafikan ada juga menyertai parti pemerintah kerana berpandangan agenda Islam dan Melayu harus dilaksanakan dari dalam sana.

5. Kita yang tinggal harus mula bertanya, apakah kita akan terus berhiba, mengenang nasib lalu dan berulang-ulang bercakap soal kekurangan dan kesilapan kita; atau mula bangkit menggenggam bara api sehingga menjadi arang.

6. Hari ini setiap ahli UMNO perlu bertanya dalam diri sendiri, adakah kita akan terus mencari tunding-menunding sesama kita agar rakan kita tampak lebih buruk dari kita? Kita boleh menyalahkan orang itu dan orang ini, parti itu dan parti ini. Hakikatnya kita kalah sebagai sebuah pasukan besar Barisan Nasional.

7. Ya, kita ada kekurangan dan kesilapan. Manusia mana yang sempurna? Parti mana yang tiada cacat cela? Malah sebahagian dalam parti lawan lebih buruk dan huduh dari kita sama ada sewaktu menjadi kerajaan dahulu atau kerajaan sekarang.

8. Namun kita bukanlah begitu hina dan buruk seperti yang cuba digambarkan oleh pihak lawan. Selama lebih 60 tahun mentadbir negara ini kita telah membawa kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan yang sengat menakjubkan berbanding kebanyakan negara-negara serantau.

9. Sama ada ia terhasil di bawah almarhum Tunku Abdul Rahman, allahyarham Tun Abdul Razak, allahyarham Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ia adalah hasil perjuangan UMNO dan rakan-rakan parti komponen dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

10. UMNO dan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Mohd Najib Razak sendiri mempunyai senarai panjang pembaharuan dan pemodenan yang dibuat. Dari penetapan gaji minimum, pertumbuhan ekonomi, pemodenan pengangkutan awam, sehinggalah kepada hal-hal bantuan kepada rakyat mengikut keperluan dan kekurangan.

11. Sudah tentu apabila kita kalah maka musuh dan mereka yang berfikiran negatif akan membicara keburukan dan kekurangan kita; dan melupakan kebaikan dan sumbangan yang telah dicipta selama ini. Ini lumrah dunia politik negara kita. Suatu hari nanti mungkin sejarah akan menghakimi kita dengan lebih baik.

12. Soalnya, hari ini apakah UMNO akan terus mengasingkan diri dan malu dengan serangan pihak musuh, atau bersedia untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat.

13. Sejarah menunjukkan UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam seperti matlamat penubuhan, tetapi juga mengambil berat dan memahami kehendak masyarakat bukan bumiputera dan penganut agama lain. Kita telah bina sebuah negara Malaysia yang makmur dan berjaya dalam rencam kepelbagaian kaum, budaya, agama dan jarak geografi.

14. Cukuplah kita berkabung dan bersedih atas kekalahan ini. Ambil iktibar kekalahan ini adalah ujian dan takdir Ilahi. Sebagai parti politik, mungkin Allah menguji kita dengan satu musibah besar ini sebagai peringatan dan kifarah supaya kita dapat bangkit sebagai sebuah parti yang lebih baik pada masa akan datang.

15. Ingatlah walaupun bukan kerajaan kita adalah “single party” yang memenangi kerusi terbanyak Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum lalu. Berjuta orang masih menyokong kita. Sokongan ini harus diterjemahkan dengan satu perjuangan yang lebih bersungguh dan komitmen yang tinggi.

16. Justeru marilah semua ahli, dan penyokong parti termasuk bukan Melayu, untuk turun menunjukkan kesetiaan dan sokongan kepada perjuangan parti ini. Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan satu ujian apakah kita semua meneruskan perjuangan ketika hilang kuasa.

UMNO Terus Mara Untuk Rakyat Malaysia!

Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO Malaysia

One thought on “Ujian Kekalahan Ini Peringatan Untuk UMNO Bangkit Lebih Baik – Mahdzir Khalid

  • September 28, 2018 at 5:42 pm
    Permalink

    ujian apa nya? korang korup kurap salah sapa? biul bingung! tamak haloba takbur khianat sombong bodoh tu yg korup bungkus??? ini bala korang dapatlah ya tak? tk paham ke?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.