Tutup Pusat Tahfiz Tunjuk Sikap Lepas Tangan Kerajaan – Ismail Sabri

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menutup semua pusat tahfiz yang berada di Kuala Lumpur menunjukkan sikap lepas tangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari memikul tanggungjawab, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau hari ini, beliau meluahkan rasa kesal kerana kerajaan terdahulu sudah mengeluarkan peruntukan yang sewajarnya bagi membantu menaik taraf dan baik pulih pusat tahfiz yang tersenarai.

Sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi membantu membaiki pusat tahfiz.

Justeri, adalah tidak wajar bagi kerajaan PH mengambil jalan mudah menutup pusat tahfiz yang dilihat sebagai mengabaikan tanggungjawab kerajaan demi menjaga agama Islam.

“Keputusan Menteri Wilayah untuk menutup semua Pusat Tahfiz  yang tidak berdaftar adalah sangat mengecewakan dan menunjukkan sikap berlepas tangan daripada tangggungjawab sebuah kerajaan pemerintah.

“Sewaktu Kerajaan BN, kita telah memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk membaik pulih dan menaiktaraf 721 pusat-pusat tahfiz (akhir 2017)  yang tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan dan memberikan keselesaan suasana dan persekitaran pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahfiz. Sebanyak 442 buah telah selesai diselenggara dan dinaiktaraf pada Mei 2018,” kata Ismail.

Tambah Ismail, kerajaan BN menambah peruntukan sebanyak RM40 juta lagi bagi menampung pendidikan teknikal dan vokasional selain mewujudkan Jawatankuasa Kabinet bagi menyelesaikan segala isu yang timbul berkaitan pusat tahfiz.

“Selain itu, bagi menjamin masa depan mereka, Kerajaan BN telah memperuntukkan RM 40 juta untuk memberikan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar-pelajar ini supaya selepas tamat pembelajaran mereka bukan sahaja bergelar huffaz tetapi mahir di dalam bidang TVET.

“Kerajaan BN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan  oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaras dan menyelesaikan semua isu yang melibatkan pusat tahfiz terutamanya dalam menyediakan sillibus matapelajaran supaya membolehkan mereka  mengikuti pelajaran formal dan mengambil peperiksaan formal seperti pelajar-pelajar lain di aliran pendidikan kebangsaan,” katanya lagi.

Ismail berkata lagi, penutupan pusat tahfiz memperlihatkan sikap ‘pilih kasih’ oleh kerajaan memandangkan Menteri Pendidikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan menghulurkan bantuan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) biar pun sekolah berkenaan tidak didaftarkan.

“Tetapi malangnya Kerajaan PH hari ini tidak langsung menunjukkan kesungguhan dan minat mereka untuk menjaga Institusi Islam ini berbanding seawal mendapat mandat kerajaan baru melalui Menteri Pendidikan PH mengistiharkan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina – SMPC layak mendapat peruntukan dari kerajaan walaupun SMPC ini tidak pernah berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan kerana enggan menggunapakai polisi dan dasar pendidikan negara. Tidak cukup dengan itu Kerajaan PH bertindak kejam dengan menutup pusat-pusat tahfiz pula,” tambah Ismail.

Oleh itu, Ismail berhadap kerajaan PH bersikap lebih terbuka dalam melaksanakan dan memberikan pendidikan secara hak sama rata serta menjaga kebajikan pendidikan pelajar-pelajar tahfiz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.