Dalam satu hantaran di Facebook, Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, perhimpunan kali ini jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana UMNO berada di persimpangan yang cukup menduga kekuatan setiap seorang daripada ahli parti.

“Dari satu sudut memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain ini adalah peluang untuk UMNO bangkit semula dari abu.

“Peluang untuk kita menilai kembali asas perjuangan kita dan untuk kita mengenal siapa dalam kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama parti untuk kepentingan sendiri,” kata Najib.

Perhimpunan Agung UMNO yang bermula esok merupakan yang pertama diadakan sejak kekalahan parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Najib percaya ahli-ahli yang hadir pada perhimpunan tersebut merupakan mereka yang benar-benar setia dan berpegang teguh kepada perjuangan UMNO. Ahli berkenaan juga merupakan mereka yang tidak akan sesekali membiarkan UMNO rebah.

“Saya percaya ahli-ahli UMNO dari serata negara yang datang kali ini andalah sebenar-benar ahli. Andalah yang setia dan betul-betul berpegang kepada perjuangan parti.

“Andalah yang tak akan berganjak dan sentiasa menjunjung panji UMNO dan takkan sesekali biarkan ia rebah ke tanah,” kata Najib

Menurut Najib, ketika ini adalah amat penting untuk ahli-ahli UMNO bersama-sama, berpadu tenaga dan bersatu padu demi parti tersebut.

Beliau yakin UMNO yang dipimpin Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berjaya mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang semula untuk bangsa, agama dan negara. – UTUSAN ONLINE