Najib Selesai Bayar Ikat Jamin RM3.5 Juta

KUALA LUMPUR: Selepas lapan hari, Datuk Seri Najib Razak, akhirnya selesai membayar keseluruhan ikat jamin berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen sebaik didakwa atas 25 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Hasil semakan di kaunter jamin Kompleks Mahkamah Jalan Duta, mendapati Najib selesai membayar ansuran ikat jamin menerusi peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Muhammad Farhan ketika dihubungi, mengesahkan bekas Perdana Menteri itu melangsaikan pembayaran ikat jamin berkenaan pada Rabu lalu.

“Bayaran yang dibuat adalah daripada baki tabung derma yang dibuka Julai lalu dan pinjaman kawan-kawan serta akaun peribadinya di Affin Bank yang digunakan untuk pembayaran gaji dan pencen beliau selepas berkhidmat bertahun-tahun dalam kerajaan,” katanya.

Bayaran itu susulan perintah Hakim Azura Alwi, yang membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib supaya jaminan sebanyak RM3.5 juta dibayar secara berperingkat RM500,000 bermula 21 September dan diselesaikan sehingga 28 September ini.

Najib didakwa atas empat pertuduhan rasuah sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi empat pertuduhan rasuah salah guna kuasa itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2,282,937,678.41 menerusi beberapa transaksi yang berlaku di antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Bagi semua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama antara 2 Ogos 2013 sehingga 14 Ogos 2013.

Bagi semua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN

2 thoughts on “Najib Selesai Bayar Ikat Jamin RM3.5 Juta

  • September 28, 2018 at 5:59 pm
    Permalink

    patutlah dlm rumah byk duit? jamin juta pun mampu pulak bayar? hairan pelik anih nya…. korup korup kurap!!!!

    Reply
  • September 28, 2018 at 6:00 pm
    Permalink

    PH maju terus maju tanpa rasuah!!!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.