Mata Jadi Buta Selepas Minum Arak

KUALA LUMPUR – “Mata saya jadi buta akibat meminum minuman keras beracun mengandungi methanol. Saya benar-benar sedih dan putus asa,” ujar warga India, Radha Krishnani, 32.

Radha adalah mangsa terbaru keracunan methanol akibat meminum minuman keras tiruan yang dibelinya pada harga murah.

Dia yang bekerja sebagai buruh binaan memaklumkan membeli minuman keras itu di kawasan sekitar Brickfields di sini, kelmarin.

“Saya membeli minuman keras berkenaan pada jam 8 malam pada harga RM8 sebotol sebelum mula merasa kesannya pagi semalam.

“Ketika itu saya berada di Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. Tiba-tiba mata saya tidak dapat melihat, saya panik dan segera menghubungi rakan untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, dia turut berasa pening dan muntah dipercayai akibat keracunan minuman keras diambil.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia T Kalamanathan berkata, pihaknya segera membantu mangsa dengan menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

“Ketika kejadian, mangsa dirawat di sebuah klinik berdekatan, namun kami membantu membawa mangsa ke HKL.

“Keadaan mata mangsa kini belum dapat dipastikan akan pulih atau sebaliknya. Dia masih menerima rawatan rapi di hospital.

“Saya juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap premis yang masih menjual arak mengandungi methanol,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbaru itu membuktikan masih wujud penjualan arak beracun di ibu kota walaupun rampasan dan serbuan sudah dilakukan pihak berkuasa. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.