Kanada Tarik Balik Anugerah Warga Negara Kehormat Aang San Suu Kyi

OTTAWA – Penggubal undang-undang Kanada semalam, sebulat suara mengundi menarik balik taraf warga negara kehormat yang dianugerahkan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, susulan jenayah ke atas etnik Rohingya.

Bagaimanapun, keputusan oleh anggota Dewan Rakyat itu tidak berkuat kuasa serta merta, kerana taraf warga negara kehormat diberi mengikut resolusi bersama Dewan Negara.

Justeru, Dewan Negara perlu mengambil tindakan sama menerusi undian bagi menarik balik anugerah yang diberikan kepada Suu Kyi pada 2007 berkenaan.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Justin Trudeau ketika memberitahu wartawan berkata, beliau akan meneliti cadangan itu tetapi pada masa sama, mengakui tindakan itu tidak akan menamatkan krisis di Myanmar.

Ketika ini, lebih 700,000 etnik Rohingya sudah meninggalkan Myanmar susulan tindakan zalim kerajaan negara itu.

Usul untuk membatalkan anugerah warga negara kehormat itu dikemukakan oleh anggota pembangkang dari Parti Bloc Quebecois, Gabriel Ste Marie.

Sewaktu ditemui wartawan, Marie berkata: “Saya fikir ia adalah satu langkah yang tepat”.

Minggu lalu, Dewan Rakyat Kanada, secara sebulat suara mentafsirkan insiden ke atas etnik Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.