Jangan Tutup, Kerajaan Perlu Bantu Perkasa Pusat Tahfiz

ALOR SETAR – Kerajaan digesa tidak menutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar sebaliknya diperkasakan dan dibantu dengan pelbagai sokongan agar pusat berkenaan dapat didaftarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, adalah malang sekiranya institusi pengajian agama itu ditutup sedangkan pihak mereka tidak dibantu bagi membolehkan memenuhi syarat pendaftaran.

“Kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa agar pusat tahfiz di Kepong dan lain-lain yang berkaitan bukannya ditutup tetapi dibantu dan diberi sokongan sama ada material dan sokongan pentadbiran untuk didaftarkan agar tahfiz-tahfiz di Malaysia diperkasakan dan diusahakan pendaftaran mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamil Khir berkata, demikian bagi mengulas laporan media berkaitan penutupan pusat tahfiz di Kepong dengan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dipetik sebagai berkata DBKL akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta beroperasi secara haram.

Tindakan itu susulan seorang pengetua pusat tahfiz yang dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun malah pusat tahfiz berkenaan didapati beroperasi secara haram.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu juga berkata, pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu sentiasa memberikan bantuan kepada pusat tahfiz dalam melengkapi kemudahan dan keselesaan pelajar kerana memahami kekangan yang dihadapi mereka. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.