Zul Sedia Dikritik Tayang Badan Dalam Tombiruo

PETALING JAYA: Pelakon, Zul Ariffin, 31, bersedia untuk dikritik apabila tampil tidak berbaju dalam filem terbaru lakonannya, Tombiruo.

Menyedari risiko yang perlu ditanggung sejak dihulurkan tawaran membintangi naskhah arahan arahan Seth Larney dan Nasir Jani itu lagi, Zul bagaimanapun sudah mempersiapkan mental dan fizikalnya untuk berdepan situasi terbabit.

“Saya sudah bersedia untuk menerima apa saja komen, sama ada daripada penonton mahupun pengikut novel ini. Begitupun saya pasti, penggemar novel mahu melihat apa yang dibaca mereka dalam buku divisualkan ke layar lebar.

“Mungkin juga ada yang tidak dapat menerimanya apabila ia diangkat ke filem kerana ia sememangnya fitrah manusia. Namun begitu, saya sudah bersedia dengan apa juga tanggapan atau kritikan orang ramai kerana ia hanyalah lakonan. Watak yang perlu saya bawakan pula memang digambarkan sebegitu,” katanya.

Enggan terlalu terkesan dengan teguran terhadap penampilan mahupun lakonannya, Zul cuma berharap penonton dapat menikmati dan menghayati filem terkininya itu.

Beliau juga berkata, dirinya akan tetap mempertimbangkan tawaran lain yang memerlukannya menayangkan badan jika itulah yang dimahukan skrip.

“Saya tahu, pasti ada anggapan kononnya saya menayangkan tubuh sebagai pelaris filem. Selalunya pula, pelakon berbuat demikian untuk beberapa babak saja, tetapi saya pula berpenampilan seperti itu bagi keseluruhan filem. Apapun, saya seronok menontonnya dan sebagai pelakon, saya teruja mendapat kostum terbabit.

“Saya dapat menjiwainya kerana ia sesuatu yang baharu dan julung kali saya diberikan watak sebegitu. Kita juga cuba untuk tidak memberikan jawapan mengenai karakter saya yang bertopeng kerana mahu orang tertanya-tanya, bagaimana rupa sebenar watak itu?” katanya.

Dalam filem yang akan mula ditayangkan pada 12 Oktober nanti, Zul membawakan watak Ejim yang dianggap sebagai penunggu hutan. Selain dirinya, turut berlakon dalam filem itu ialah Nabila Huda, Farid Kamil, Dynas Mokhtar dan Hasnul Rahmat.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.