Trump Cadang Potongan Cukai Perniagaan Dan Golongan Kaya

Presiden Donald Trump mencadangkan pada hari Rabu pembaharuan cukai AS yang terbesar dalam tiga dekad, dengan menggesa pemotongan cukai untuk kebanyakan rakyat Amerika, tetapi ia mencetuskan kritikan bahawa rancangan itu menguntungkan ahli perniagaan dan golongan kaya dan mungkin menambahkan triliun dolar kepada defisit.

Cadangan itu mengundang tanggapan skeptikal dari Senator Bob Corker dari Republikan, yang berjanji tidak akan mengundi sebarang pakej cukai persekutuan yang dibiayai dengan wang pinjaman.

“Apa yang saya boleh katakan ialah saya tidak akan mengundi sebarang rang undang-undang yang meningkatkan defisit kita,” kata Corker – yang mengatakan pada hari Selasa bahawa beliau tidak akan bertanding semula pada 2018 – kepada pemberita.

Trump berkata pelan cukainya itu bertujuan untuk membantu orang yang bekerja, mewujudkan pekerjaan dan membuat kod cukai lebih mudah dan lebih adil. Tetapi ia berdepan dengan tentangan dalam Kongres Amerika Syarikat dengan Parti Republikan sendiri berbelah-bagi mengenainya.

Rancangan ini akan mengurangkan kadar cukai pendapatan korporat dan perniagaan kecil dan mengurangkan kadar cukai individu pendapatan tinggi.

Rancangan itu mengandungi sedikit butiran mengenai cara bagaimana hendak membayar pemotongan cukai itu tanpa menambah lagi defisit bajet dan menambah kepada AS20 trilion hutang negara.

Rancangan itu masih perlu menjadi undang-undang, yang tidak dijangka sehingga selepas Kongres membuat kemajuan terhadap bajet fiskal 2018 – mungkin pada bulan Oktober. Ia kemudiannya mesti dibahaskan oleh jawatankuasa cukai Kongres yang diterajui oleh Republikan.

Penganalisis skeptikal bahawa Kongres boleh meluluskan rang undang-undang cukai pada tahun ini, tetapi itulah yang diharapkan oleh Republikan supaya mereka boleh berdepan dengan kempen pilihan raya kongres tahun depan dengan sekurang-kurangnya satu pencapaian perundangan untuk ditunjukkan bagi 2017.

Pasaran kewangan menunggu perancangan itu, sesuatu yang yang lama dijangka oleh para pedagang yang bertaruh bahawa saham akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

Dalam satu majlis di Indianapolis, Trump menggelarnya sebagai rancangan cukai terbesar dalam sejarah AS.

 

“Kami mahu pembaharuan cukai yang pro-pertumbuhan, pro-pekerjaan, pro-pekerja, pro- keluarga dan, ya, pembaharuan cukai yang pro-Amerika,” katanya.- Reuters

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.