Tiada Paksaan Saring Calon Tanding Pilihan Raya – SPRM

BALIK PULAU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbuka kepada mana-mana parti politik yang ingin menghantar senarai nama calon untuk saringan bagi memastikan mereka yang bakal bertanding pada pilihan raya umum akan datang bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata perkara itu terpulang kepada parti politik kerana tiada peruntukan dalam undang-undang untuk SPRM membuat saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa terhadap bakal calon pilihan raya.

”Tiada paksaan kepada parti politik yang enggan melakukannya. Itu komitmen sesebuah parti menghantar nama bakal calon untuk saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa supaya pemimpin dipilih rakyat kelak adalah bersih,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengetuai Konvoi Program Kembara Jelajah Anti Rasuah sempena sambutan Jubli Emas SPRM hari ini, Dzulkifli berkata saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa merupakan proses pertama sebelum seseorang individu bertanding atau dipilih sebagai calon.

SPRM baru ini, dilapor mempelawa parti politik yang bercadang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring, dan setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) menyerahkan senarai nama cadangan calon untuk saringan.

Sementara itu, Dzulkifli tetap menegaskan tiada keperluan menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dilihat mempunyai skop kerja dan tanggungjawab yang sama dengan agensi sedia ada.

“Penubuhan JITN ini akan menjadi satu pembaziran bajet kerana skop kerjanya sudah dilakukan oleh agensi sedia ada dan akan mengganggu gugat peranan dimainkan SPRM,” katanya.

Beliau berkata, selain SPRM, negara juga mempunyai Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Integriti­ Agensi Penguatkuasaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan hari ini mempertahankan penubuhan JITN sebagai usaha menerajui transformasi perubahan membina kapasiti institusi terutamanya dalam kalangan penjawat awam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.