Tiada Paksaan Hantar Senarai Calon Disaring SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbuka kepada mana-mana parti politik yang ingin menghantar senarai nama calon untuk saringan bagi memastikan mereka yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata perkara itu terpulang kepada parti-parti politik kerana tiada peruntukan dalam undang-undang untuk SPRM membuat saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa terhadap bakal calon pilihan raya.

”Tiada paksaan kepada parti-parti politik yang enggan melakukannya. Itu adalah komitmen sesebuah parti untuk menghantar nama bakal calon untuk saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa supaya pemimpin yang dipilih oleh rakyat kelak adalah bersih,” katanya.

 

Bercakap kepada pemberita selepas mengetuai Konvoi Program Kembara Jelajah Anti Rasuah sempena sambutan Jubli Emas SPRM di sini hari ini, Dzulkifli berkata saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu proses pertama sebelum seseorang individu itu bertanding atau dipilih sebagai calon.

SPRM baru-baru ini, dilapor mempelawa parti-parti politik yang bercadang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring, dan setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) menyerahkan senarai nama cadangan calon untuk saringan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.