Tentera Bangladesh Warta 12 Kem Pelarian Rohingya

COX’S BAZAR – Masih ada pelarian Rohingya yang tiba di Bangladesh. Hakikat itu disaksikan sendiri wartawan BH di Dhakinpara, Teknaf, sempadan di antara Bangladesh-Myanmar.

Tiba di situ sekitar jam 6.30 petang semalam, puluhan pelarian Rohingya yang baru tiba menunggu untuk dihantar ke kem dan penempatan pelarian Rohingya di Ukhia.

“Kami akan ke Balukhali,” kata Senwara Begum, 25, yang tiba di Teknaf selepas melalui perjalanan tiga hari meredah belukar dan menaiki bot menyeberangi Sungai Naf, lapor BH.

Turut bersama ialah suaminya, Mohd Tahir, 30, dan dua anak perempuan mereka iaitu Usmiza, 9, dan Ruzina, 7, yang ketika itu menunggu lori ke Balukhali, kira-kira sejam setengah dari Teknaf.

Wartawan BH mendapati kawasan itu dikawal anggota tentera yang memastikan semua pelarian Rohingya terus ke kawasan yang diwartakan pihak kerajaan.

Tentera juga akan memastikan tiada pelarian yang menyelinap ke tempat lain berikutan ramai dalam kalangan mereka mempunyai anggota keluarga di Bangladesh, termasuk sehingga ke Chittagong.

Ketua Pembangunan Program dan Operasi Mercy Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim, berkata tentera Bangladesh mewartakan 12 kem dan penempatan pelarian Rohingya bermula hari ini bagi menguruskan pelarian Rohingya di sini.

Lokasi itu termasuk Kutupalong, Balukhali, Hakimpara, Mainnerghona, Jadimora, Leda, Uchiprang, Teknaf Sadar dan Shamlapur.

“Ini dimaklumkan dalam mesyuarat koordinasi NGO yang dipengerusikan IOM (Pertubuhan Migrasi Antarabangsa) semalam,” kata Said Alhudzari yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan di Bangladesh.

Mercy Malaysia yang memasuki Cox’s Bazar sejak 9 September lalu membuka klinik statik di Balukhali dan Mainnerghona dengan kerjasama NGO tempatan selain membuat agihan makanan harian kepada pelarian.

Orang ramai ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan melayari laman Facebook Mercy Malaysia atau menyumbang terus kepada tabung khas “Rohingya Relief Fund” di akaun Mercy Humanitarian Fund 562179504126 (Maybank).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.