PDRM Umum Pertukaran 14 Pegawai Kanan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 14 pertukaran pegawai kanannya berkuat kuasa 30 Oktober tahun ini.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan semalam, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, SAC Azizi Mat Aris akan bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Tadbir Urus/Kepolisan Am) Bukit Aman.

ACP Baharudin Mustapha yang kini Penolong Pengarah (D7B) Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal/e-Sektor, Bahagian Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, menggantikan ACP Mohd Soaihami Rahim.

Mohd Soaihami pula akan mengambil alih jawatan Baharudin ketika ini.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi/Bantuan Teknik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman ACP Koh Ah Tiam pula dilantik sebagai Penolong Pengarah Urusetia, Cawangan Urusetia, Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Tempat Koh akan digantikan ACP Ahmad Mazlan Yahaya yang sebelum ini menyandang jawatan yang akan diambil alih Koh.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Siti Dalila Mohd Yasin pula akan mengambil alih jawatan Penolong Pengarah Kepolisan Kemasyarakatan, Bahagian Kepolisan Komuniti, JPJKK, Bukit Aman.

Tempat Siti Dalila akan digantikan ACP Md Nazri Zawawi yang sebelum ini memegang jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Diwartakan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Zulkefly Yahya pula akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Asmawati berkata tugas Zulkefly akan diambil alih ACP Mohd Sukri Kaman yang sebelum ini Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Timbalan Ketua JPJKK(Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ACP Shaharudin Abdullah pula akan menggantikan jawatan Mohd Sukri ketika ini.

ACP Wong Ing Fung yang kini Penolong Pengarah Kepolisan Kemasyarakatan, Bahagian Kepolisan Komuniti, JPJKK Bukit Aman pula akan dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Operasi) di IPK Kedah.

Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua JSPT di IPK Johor, Supt Dzulkhairi Mukhtar bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kulai.

Supt Mohd Taufik Maidin yang memegang jawatan sebagai Pegawai Pemerintah Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Semenyih, akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Gua Musang.

Menurut Asmawati, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, DSP Sabarudin Rahmat akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Sipitan, Sabah.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.