Keturunan Megat Junid Kecam Penafian Mahathir Bayar Pelobi Jutaan Ringgit

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Megat Fairouz Junaidi ‘cari makan’ kerana mendedahkan wujud pembayaran kepada pelobi bagi mengadakan pertemuan antara bekas Perdana Menteri itu dengan Presiden Amerika Syarikat, George Bush dikecam keturunan Megat Terawis.

Megat Fairouz, anak kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid merupakan anggota Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia.

Timbalan Pengerusi persatuan, Megat Zulhazmi Megat Abdullah Rafaei berkata, Dr Mahathir sebenanya sedar bahawa pendedahan oleh Megat Fairouz adalah benar dan bukannya cubaan untuk ‘cari makan’ seperti yang dituduh.

“Kami semua tahu bagaimana dulunya Tan Sri Megat Junid begitu setia dengan Tun sehinggakan karier politiknya hancur juga adalah disebabkan sikapnya yang setia terhadap Tun.

“Tetapi kami lihat dalam cara berpolitik Tun hari ini, Tun nampaknya sudah tidak peduli lagi dengan kebenaran,” ujarnya dipetik portal berita.

Pendedahan oleh Megat Fairouz susulah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Dr Mahathir membayar pelobi Ken Schiffer sebagai upah untuk bertemu Bush.

Kata Najib, pembayaran dibuat dalam bentuk kontrak Batu Arang Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit.

Ujar Megat Fairouz, pertemuan Dr Mahahtir dengan Bush bagi membersihkan namanya ekoran Timbalan Presiden Amerika Syarikat Al Gore memuji gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sungguhpun bekas Perdana Menteri itu menafikan pernah mengeluarkan arahan untuk membayar pelobi bagi mengatur pertemuan dengan Bush, beliau sendiri mengakui ‘seseorang’ membuat pembayaran berkenaan.

Lantaran itu, Megat Zulhazmi menegaskan bahawa pendedahan oleh Megat Fairouz bukan sekadar kata-kata kosong tetapi mempunyai dokumen termasuk bukti pembayaran kepada pelobi hasil penjualan konsesi batu arang di daerah Banjarmasin, Kalimantan kepada TNB.

“Sebab itu saya merasa hairan dengan sikap Tun hari ini, mungkin akibat terlalu kuat keinginan Tun untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada, Tun cuba untuk menutup apa yang berlaku dengan menggunakan alasan ‘tak tahu’.

“Megat Fairouz tahu semua yang terlibat dalam urusan tersebut bersama Allahyarham bapanya. Bapanya bersama Allayarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang ketika itu merupakan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad pernah ke Amerika kerana urusan tersebut. Kalau benar Megat Fairouz mahu ‘cari makan’ sudah lama beliau menyerang sejak awal-awal Tun berhijrah ke pembangkang lagi.

“Kami sekeluarga rasa amat terhina bila Tun cakap ‘anak sahabat saya nak cari makan’. Kami tak akan gadai segalanya hanya untuk wang ringgit, sedangkan kami yakin, jika tidak kerana persetujuan Tun dalam isu tersebut, maka sudah tentulah Allahyarham Tan Sri Megat Junid tidak akan memandai-mandai melakukan urusan pertemuan tersebut bagi pihak Tun,” jelasnya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.