Hukuman Penjara 5 Tahun Terhadap Yingluck

BANGKOK – Mahkamah Agung Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Perdana Menteri yang digulingkan, Yingluck Shinawata kerana jenayah kecuaian, keputusan yang dibacakan tanpa kehadirannya selepas beliau melarikan diri pada bulan lalu.

Pentadbiran Yingluck tumbang dalam satu rampasan kuasa pada 2014 sebelum beliau dibicarakan kerana dituduh cuai menguruskan skim subsidi beras kerajaan sehingga mengakibatkan negara kerugian beberapa bilion dolar, lapor Kosmo.

Yingluck bagaimanapun tidak mengaku salah dan menuduh dakwaan junta tentera terhadap dirinya bermotifkan politik.

Namun, Mahkamah Agung di Bangkok memutuskan pemimpin itu bersalah dengan alasan beliau gagal menghentikan rasuah dan kerugian yang dialami skim tersebut.

“Mahkamah mendapati defendan (Yingluck) bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

“Defendan tidak mengambil langkah berjaga-jaga sehingga mendatangkan kerugian besar kepada petani, bajet negara, Kementerian Kewangan, negara ini dan rakyatnya,” kata seorang Hakim Mahkamah Agung.

Selepas menghadiri berpuluh-puluh perbicaraan selama lebih setahun, Yingluck gagal hadir untuk mendengar keputusan kesnya yang pada asalnya dijadualkan 25 Ogos lalu.

Yingluck, 50, tidak pernah muncul di khalayak atau membuat kenyataan sejak beliau menghilangkan diri. Namun, laporan meluas menyatakan bahawa beliau kini bersama abangnya, Thaksin Shinawatra yang hidup dalam buangan di Dubai selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.