Gunung Berapi Vanuatu Masih Meletus , 8,000 Dipindahkan

PORT VILA, Vanuatu – Kira-kira 8,000 orang ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara di Ambae, sebuah pulau di Kepulauan Vanuatu, Pasifik Selatan selepas gunung berapi Lombenben meletus sejak beberapa hari lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut agensi berita itu, penduduk yang berpindah kini berdepan kekurangan makanan, air dan bekalan asas lain, lapor Kosmo.

Menurut laman web akhbar Vanuatu, Daily Post semalam, sebanyak 35 pusat pemindahan telah dibuka di barat dan timur Pulau Ambae tetapi pusat-pusat berkenaan sesak ekoran lebih rama penduduk berpindah.

Gunung Lombenben mempunyai ketinggian 1,500 meter. Gunung berapi itu mengeluarkan bunyi berdentum sejak beberapa minggu tetapi mula menghamburkan abu dan lahar pada tengah malam Sabtu lepas.

Penyelaras bencana kerajaan Wilayah Penama, Manuel Ure berkata semalam bahawa pusat-pusat pemindahan amat memerlukan bekalan air minuman dan perkakas kebersihan diri.

Katanya, pulau itu yang bergantung kepada bekalan air hujan, mengalami kekurangan air selepas simpanan air dicemari abu gunung berapi.

Kerajaan Vanuatu telah mengisytiharkan darurat dan menyalurkan dana hampir AS$2 juta (RM8.4 juta) untuk bekalan dan pelbagai bantuan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.