‘Geng Lembut’ Samun Kedai Ditahan

BAGAN SERAI – Empat lelaki, termasuk tiga berperwatakan lembut, ditahan polis selepas cuba menyamun kedai serbaneka di Pusat Bandar Parit Buntar, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dua daripada mereka ditahan oleh sepasukan anggotanya yang terserempak dengan mereka dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal berhampiran premis makanan segera di pusat bandar itu pada jam 3 pagi, lapor BH.

Katanya, pemeriksaan kemudian menemukan sebilah parang terselit pada bakul motosikal Honda EX5 yang dinaiki, manakala sebilah pisau dan dua kain skaf ditemui dalam beg galas mereka.

“Soal siasat terhadap kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun itu mereka mengaku cuba melakukan samun di premis kedai serbaneka bersama dua lagi rakan yang bertindak sebagai tonto (peninjau kawasan).

“Susulan maklumat itu, polis kemudian menahan dua lagi rakan mereka berusia 17 dan 26 tahun di kawasan kilang di kawasan berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, dua daripada suspek mengaku terbabit dalam dua kes samun premis serbaneka di Jalan Besar dan Jalan Siakap dekat sini yang dilaporkan tahun ini dan suspek berusia 26 tahun turut mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, polis menemui sebuah telefon pintar milik salah seorang mangsa samun di kedai serbaneka di Jalan Siakap daripada salah seorang suspek.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.