Elak Makan Durian, Ricciardo Rela Minum Dalam Kasut

CYBERJAYA – Pelumba F1 Australia, Daniel Ricciardo rela mengulangi tradisi ‘shoey’ iaitu minum menggunakan kasut berbanding menjamah durian sebagai keutamaannya jika diberi pilihan kali ini.

Juara Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia PETRONAS 2016 itu pernah menjadi perhatian di Sepang musim lalu apabila minum menggunakan kasutnya yang mejadi tradisi pelumba di Australia bagi meraikan kejayaannya berada di pentas podium utama, lapor BH.

Namun selepas ‘pertemuannya dengan raja buah’ di GP Singapura dalam satu program kendalian Red Bull dua minggu lalu, Ricciardo dan juga rakan sepasukannya, Max Verstappen masing-masing jelas dilihat tidak menyukai bau dan rasanya.

“Saya akan pilih minum menggunakan kasut kerana (perbuatan itu) untuk meraikan sesuatu,” gurau Ricciardo andai dirinya diberi peluang memilih antara memakan durian dan minum menggunakan kasut.

“Malangnya, memakan durian ketika itu bukan untuk meraikan sesuatu (di Singapura). Kami juga menyambut kegembiraan di Singapura yang mana bagus tetapi tidak ada kemenangan yang diraih.”

Hari ini, kedua-dua pemandu ini sekali lagi diberi cabaran, merasai campuran buah-buahan tropika termasuk nangka yang bagi Ricciardo, baunya lebih baik daripada durian.

“Kami tidak merasainya lagi (nangka) tetapi baunya tidak begitu teruk dan mungkin (rasanya) lebih baik (daripada durian).

“Saya tidak tahu kenapa durian tidak sesuai untuk saya dan Max,” kata Ricciardo yang kini berada di tangga keempat keseluruhan dalam carta kedudukan pemandu di belakang Valtteri Bottas dari pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Sebastian Vettel (Ferrari) dan pendahulu yang juga rakan sepasukan Bottas, Lewis Hamilton.

Ditanya sekiranya fikirannya bakal berubah dan akan cuba merasai durian pada masa akan datang, Ricciardo secara berseloroh berkata: “Saya fikir tidak.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.