Azharina Rapat Dengan Ahli Perniagaan

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun hidup menjanda, penyanyi, Azharina Azhar, 32, memberikan bayangan hatinya kini sudah dimiliki seorang ahli perniagaan berstatus duda.

Menerusi sekeping gambar memaparkan dirinya bersama lelaki terbabit di Instagram miliknya, baru-baru ini, Azharina mendedahkan mereka sudah saling mengenali sejak lima bulan lalu.

Bukan sekadar memuji sikapnya, malah pada perkongsian itu Azharina turut meletakkan ‘tag’ nama lelaki terbabit di bawah akaun @izzatrualil. Begitupun ketika artikel ini ditulis, belum ada sebarang gambar dimuatnaik menerusi akaun Instagram itu.

“Sikap merendah diri, pendiam dan pendengar kamu membuatkan hati wanita yang setegar berlian ini luluh buatmu, walaupun aku pernah berhenti mempercayai cinta itu wujud buat aku.

“Memahami, menghormati kerjayaku dan menerima anakku serta diri ini seadanya membuatkan saya membuka pintu hati ini untuk menerima lelaki di dalam hidup,” tulisnya penuh berbunga.

Malah, Juara Gegar Vaganza (GV) musim ketiga itu turut menegaskan beliau mahu ‘memiliki’ lelaki berkenaan bukanlah kerana keduniaan.

“Aku bukan seorang yang puitis, bukan juga seperti yang lain, yang mahu memilikimu kerana keduniaan. Aku memilihmu daripada yang lain kerana keikhlasannya untuk anakku, Rahmat, yang tiada nilainya di dunia ini buat aku.

“Semoga persahabatan kita diberkati Allah Taala dan diberikan yang terbaik buat kita ke depan kelak. Amin @izzatrulalil,” coret Azharina lagi sambil disertakan tanda pagar seperti #jangankecam.

Sementara itu, ketika BH Online ingin mengesahkan apakah lelaki berkenaan adalah kekasihnya, Azharina mengaku beliau lebih selesa meletakkan perhubungan mereka ketika ini sebagai teman istimewa.

“Dia seorang duda dan saya pula ibu tunggal, jadi tiada sesiapa yang menghalang. Anak-anak masing-masing juga menerima kami seadanya,” katanya.

Sebelum ini, Azharina pernah mendedahkan hampir 40 lelaki kaya pernah cuba mendekati dirinya. Katanya juga, ada yang mahu menjadikannya sebagai isteri dan sebahagiannya pula hanya mahu berseronok sebagai pasangan kekasih.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.