6 Dis Pengurusan Kes Bunuh Mangsa Buli T Nhaveen

Mahkamah Majistret di George Town hari ini menetapkan 6 Disember depan untuk pengurusan kes empat remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh mangsa buli T Nhaveen.

Timbalan Pendaftar Nurfadrina Zulkhairi menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Syafiq Mohd Sazali memaklumkan mahkamah pihaknya belum menerima laporan bedah siasat mangsa.

Dalam prosiding hari ini, ibu Nhaveen turut hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun itu.

Pada 19 Jun lepas, empat remaja termasuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Nhaveen.
J Ragesuthen, 18, dan S Gokulan, 18, serta dua lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan itu secara bersama di antara 11 malam hingga 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor pada 9 Jun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.