Wanita Islam Bertudung Dikritik Tampil Hiasi Majalah Playboy

LOS ANGELES – Majalah Playboy, yang terkenal dengan ‘bunny’ dan pornografi ringan, buat pertama kali menampilkan wanita Muslim memakai tudung, mengundang pujian dan kritikan ramai.

 

Wartawan Amerika, Noor Tagouri muncul dalam majalah itu edisi Oktober bertemakan “Renegades”, memfokuskan kepada lelaki dan wanita yang “sanggup pertaruh segala-galanya termasuk nyawa sendiri untuk buat apa yang mereka suka”.

 

Wartawan berusia 22 tahun yang bekerja di Newsy, satu jaringan berita video, tampil memakai jaket kulit warna hitam, jeans, kasut sukan serta tudung, dan majalah itu menggambarkan beliau sebagai “aktivis badass”.

 

Badass ialah bahasa slanga dari Amerika utara yang bermaksud orang yang kuat, tidak bertolak ansur dan menakutkan.

 

Tagouri, yang berketurunan Libya bercita-cita menjadi wanita berhijab pertama sebagai teraju utama dalam iklan di televisyen Amerika Syarikat (AS), berkata kesukarannya membesar sebagai wanita Islam di negara banyak membantunya maju dalam karier.

 

“Saya tahu apa rasanya apabila komuniti kami dikutuk dan dieksploitasi di media,” katanya kepada Playboy yang mula tidak memaparkan imej bogel sejak awal tahun ini untuk menarik lebih ramai pembaca pelbagai kelompok.

 

“Saya tahu apa rasanya disalah anggap dalam media. Saya tidak akan buat begitu kepada anda. Saya mahu beritahu cerita anda kerana ia penting dan layak diberi keadilan.”

 

Tagouri, yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di media sosialnya, mula mendapat tumpuan selepas pelancaran kempen #LetNoorShine yang menjadi viral pada 2012.

 

Kemunculannya dalam Playboy yang baharu dilihat sebagai satu kejayaan, tetapi ramai mengkritik wanita itu.

 

“Playboy sinonim dengan pornografi,” kata artikel dalam The Muslim Vibe, majalah atas talian.

 

“Ia menjadi barisan depan yang melihat wanita sebagai objek, seks dan komiditi sejak berdekad lalu dan hanya kerana mereka meringankan imej, ia tidak bermakna kita boleh mula bergabung dan menyertai platform itu.”

 

Blogger Nishaat Ismail dalam satu ruangan pendapat turut mempersoalkan kebijaksanaan Tagouri yang mahu terkait dengan institusi “berasaskan kepada melihat wanita sebagai objek”.

 

“Adakah suara wanita – khususnya wanita Muslim – terkubur di bawah rengekan mereka yang mendakwa bercakap bagi pihak kami. Menyatakan satu-satunya respons yang kami ada ialah membabitkan diri dengan Playboy, majalah yang wujud sejak 63 tahun lalu semata-mata untuk lelaki melopong ternganga melihat wanita separuh bogel,” tulis Nishaat.

 

“Adakah benar ini caranya kita menebus semula kisah sendiri?” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.