Tiada Amalan ‘Tebang Bakar’ Sawit Malaysia – Najib

BERLIN – Kaedah ‘tebang dan bakar’ tidak diamalkan dalam industri minyak sawit Malaysia tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada penggubal undang-undang Jerman, hari ini.

 

 

Najib berkata, Malaysia mengguna pakai pembangunan lestari dan mereka boleh datang dan melihat sendiri perkara itu.

 

 

“Kami komited kepada pembangunan lestari dan tidak ada amalan ‘tebang dan bakar’,” kata Najib pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala dengan Canselor Jerman Angela Merkel, memetik Bernama.

 

 

“Keadaan sebenar hanya boleh dinilai apabila anda melihat sendiri dan saya mempelawa kumpulan Anggota Parlimen untuk melawat Malaysia dan melihat bagaimana kami menguruskan industri perladangan,” katanya.

 

 

Beliau berkata pembangunan lestari penting bagi Malaysia kerana kira-kira 500 ribu pekebun kecil bergantung kepada industri minyak sawit dan berjuta-juta rakyat Malaysia keluar daripada kemiskinan hasil daripada industri itu.

 

 

Malaysia, yang merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia, komited untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon dioksidanya sebanyak 40 peratus menjelang 2020, katanya.

 

 

Merkel mengesahkan bahawa Perdana Menteri ada mempelawa Anggota Parlimen Jerman.

 

 

“Malaysia memberi jaminan kepada kami yang dasar-dasar ini (tebang dan bakar) adalah perkara lampau dan tidak lagi berlaku dan ia mempelawa Anggota Parlimen melawat Malaysia dan melihat sendiri kemajuan yang telah dicapai,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.