Malaysia Setuju Tangani Isu Pelarian Syria

BERLIN – Malaysia bersetuju membantu menangani masalah pelarian Syria, menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

 

Masalah pelarian itu adalah antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat dua hala di antara Canselor Jerman Angela Merkel dan Najib, yang mengadakan lawatan sulungnya ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada 2009.

 

 

“Kami menyentuh masalah pelarian itu secara umum dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Canselor Angela Merkel kerana melaksanakan dasar yang berkaitan dalam membantu isu migran, yang sepatutnya tidak menjadi isu yang membebankan negara-negara lain.

 

 

“Menyelesaikan masalah Syria secara rundingan merupakan perkara utama bagi keseluruhan isu itu dan Malaysia akan memainkan peranannya (walaupun) kami bukanlah kuasa besar tetapi semestinya, dalam konteks OIC, kami akan menghulurkan apa sahaja yang boleh untuk membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya memetik Bernama.

 

 

Najib berpendapat masalah itu haruslah ditangani di peringkat puncanya.

 

 

Malaysia telah menawarkan bantuan untuk mengambil kira-kira 3,000 pelarian Syria sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

 

 

Sementara itu, Merkel berkata beliau dan Najib turut membincangkan tentang memerangi keganasan antarabangsa di mana Berlin dan Putrajaya sependapat berhubung usaha ke arah matlamat itu.

 

 

“Kami sependapat dalam menyatakan tentang beberapa cabaran bersama yang perlu kami hadapi berhubung isu-isu keselamatan seperti memerangi keganasan antarabangsa dan keselamatan dalam negara,”katanya.

 

 

Najib turut menerangkan kepada Merkel mengenai cara Malaysia mengendalikan rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama.

 

 

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kami akan terus menjadi negara yang sederhana dan progresif serta berlaku adil kepada semua kaum di Malaysia,” kata beliau.

 

 

Antara isu lain yang dibincangkan Najib dan Merkel adalah tentang pekerja tanpa izin, memerangi rasuah dan meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia serta perkembangan di Laut China Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.