Keluarga Pelajar Hilang Di Perancis, Minta Doa Rakyat Malaysia

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Malaysia di Universiti Institut Teknologi (IUT) di Rouen, Perancis gagal dikesan sejak keluar dari penginapannya berhampiran universiti itu beberapa hari lalu dikhuatiri hilang.

 
Ibu pelajar tersebut, Nurhalizah Ahmad, 44, berkata, Kedutaan Malaysia di Perancis memaklumkan mengenai kehilangan anak keduanya, Nurshakinah Naim, 19, kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

 
“Pegawai kedutaan itu memberitahu anak saya gagal dikesan setelah keluar dari lokasi penginapannya. Bila dia keluar, saya tak pasti tetapi laporan mengenainya dibuat rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Ayu kepada Kedutaan Malaysia di sana.

 
“Terkejut dengan perkha­baran itu, saya cuba menghubungi Shakinah. Setelah beberapa kali mencuba, Ayu yang menjawab panggilan itu dan memberitahu Shakinah keluar dengan hanya membawa dompetnya sahaja,” katanya memetik Utusan.

 
Nurshakinah mengikuti jurusan kejuruteraan kimia di universiti tersebut sejak setahun lalu dan lokasi penginapannya hanya terletak kira-kira lima minit dari pusat pengajian itu iaitu di Parc De La Durdent, Mont Saint Aignan, Rouen.

 
Mengulas lanjut, Nurhalizah memberitahu, Ayu memaklumkan kedua-dua mereka keluar bersama namun berpecah setelah Nurshakinah memberitahu hendak ke kedai bagi membeli makanan kucing.

 
“Apabila Ayu pulang, didapati Shakinah masih belum pulang. Setelah menunggu sekian lama, Ayu terus membuat laporan kepada kedutaan. Beberapa barang­an peribadi Shakinah seper­ti telefon dan komputer bimbit sudah diambil polis Pe­rancis untuk siasatan,” kata­nya.

 
Nurhalizah menambah, kali terakhir kedua-dua mere bertemu adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu ketika Shakinah pulang bercuti selama sebulan.

 
“Kali terakhir Shakinah meng­hubungi saya pada 23 September lalu.

 
Ketika itu percakapannya ceria seperti biasa dan tiada apa yang pelik.

 

 

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat.

 

 

“Saya dan suami, Naim Awang mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia agar Shakinah ditemukan selamat,” katanya.

 
Sementara itu, jurucakap Wisma Putra memberitahu, tiada maklumat terkini mengenai kehilangan Norshakinah dan usaha bagi mengesan pelajar berkenaan masih lagi dijalankan bersama pihak Kedutaan Malaysia di Perancis.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.