Kawasan SAR Cari 7 Murid Orang Asli Diperluas

GUA MUSANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas akan diperluaskan ke bandar-bandar kecil berdekatan, kata Timbalan Perdana Menteri,‎ Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau berkata, kawasan SAR diperluaskan daripada kawasan hutan hingga ke  bandar-bandar kecil kerana pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlaku jenayah dan penculikan membabitkan murid berkenaan.

 

“Kita akan meliputi kawasan pencarian ini ke bandar-bandar kecil berdekatan kerana kita khuatir ada pihak yang melakukan penyembunyian kanak-kanak berkenaan,” katanya  kepada pemberita selepas mendengar taklimat SAR itu dan bertemu ibu bapa tujuh murid berkenaan di Sekolah Kebangsaan Tohoi di sini, hari ini.

 

Dalam kejadian itu, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran. Mereka pada mulanya dikhuatiri tersesat di hutan.

 

Turut mengiringi Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ialah Menteri  Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin.

 

Ahmad Zahid berkata pihak risikan termasuk polis dan tentera akan menggiatkan usaha menjejaki tujuh kanak-kanak yang hilang itu memandangkan setakat SAR yang memasuki hari ke-37 hari ini, tiada bukti yang ditemui yang boleh dikaitkan dengan kanak-kanak itu.

 

“Bukti yang ditemui tidak memperlihatkan langsung (seperti) stokin dan selipar yang ditemui (dalam hutan) daripada kanak-kanak terbabit (ini) berdasarkan DNA dan sebagainya,”  kata beliau.

 

Beliau berkata operasi SAR yang melibatkan kawasan hutan berbukit Pos Tohoi  diperluaskan dari 80 kilometer (km) radius kepada 140km radius.

 

Setakat ini lapan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sedang melakukan operasi SAR dan ia akan diteruskan sehingga kesemua murid terbabit ditemukan.

 

Beliau berkata unit Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dilibatkan dalam operasi SAR di kawasan hutan belantara itu kerana mereka terdiri daripada Orang Asli yang mempunyai kemahiran dalam operasi di hutan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.