Dr M Sokong Azmin Sebagai MB Selangor, Harap Tiada Undi Tak Percaya

Shah Alam -Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan sokongan kepada menteri besar Selangor yang baru dilantik, Mohamed Azmin Ali, dan berharap tidak akan ada undi tidak percaya terhadap beliau apabila Dewan Undangan Negeri mengadakan sidang November ini.

“Saya harap apabila Dewan Undangan Negeri bersidang, kebanyakan mereka akan menyokong Azmin. Jika tidak, akan ada undi tidak percaya dan Selangor perlu mencari MB baru,” Dr Mahathir dipetik berkata dalam laporan media.

Dr Mahathir juga mempertahankan keputusan Azmin untuk mengurangkan bilangan exco PAS daripada empat kepada tiga.

“Itu adalah hak MB, sama ada beliau mahu meningkatkan atau mengurangkan. Beliau boleh melakukan apa sahaja yang dia rasakan sesuai.

“Beliau tidak perlu mengekalkan empat exco hanya kerana pentadbiran sebelumnya berbuat demikian,” kata Dr Mahathir sebagaimana dilaporkan.

Spekulasi bertiup kencang Azmin akan menghadapi undi tidak percaya November ini kerana beliau bukan pilihan parti itu untuk jawatan MB.

Kedua-dua PKR dan DAP mencadangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal dan beliau sudah pun memiliki kepercayaan serta keyakinan majoriti dewan.

Tetapi kedua-dua pihak akhirnya menyokong pelantikan Azmin selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju melantik timbalan presiden PKR itu sebagai MB.

Bagaimanapun PKR dalam satu kenyataannya berkata, pelantikan istana ke atas Azmin mencemari sistem raja berperlembagaan dan tidak selaras dengan perlembagaan negara dan prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.

Azmin mengangkat sumpah sebagai MB baru di depan Sultan Selangor pagi berikut di Istana Alam Shah di Klang.

Pada hari Jumaat, Sultan mempertahankan peranannya dalam melantik MB dengan berkata tugasnya sebagai Sultan negeri ini bukan semata-mata untuk upacara sahaja.

Dalam ucapannya pada majlis angkat sumpah jawatan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru pada Jumaat, Sultan menyalahkan Pakatan Rakyat yang menyebabkan kebuntuan MB, dan menyatakan rasa tidak puas hati dalam percubaan menggulingkan Khalid.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri dan penyokong mereka tidak puas hati dengan pelantikan Azmin, tetapi takut mengambil risiko kemarahan MB baru kerana beliau kini pemimpin yang paling berkuasa dan berpengaruh dalam PKR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.