Tanjung Malim – Bekas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata pihaknya akan ‘mengodam’ calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sekiranya tidak berkhidmat kepada rakyat.
Mahathir berkata sebagai calon yang mewakili gabungan pakatan pembangkang, Amir Khusyairi perlu berkhidmat kepada rakyat sekiranya berjaya memenangi pilihan raya kecil (PRK) Slim nanti.
“Saya pesan kepada calon, jika dipilih hendaklah berkhidmat kepada rakyat di sini. Banyak masalah yang perlu diselesai oleh wakil rakyat.
“Kalau tak berkhidmat dengan baik saya sendiri akan godam dia,” katanya ketika berkempen bersama warga Felda Besout 3 di Slim River, Perak semalam.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.
Amir Khusyairi akan berdepan calon BN, Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calon bebas, Santharasekaran Subramaniam, manakala Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calonnya.
Seterusnya ketika berucap di ceramah perdana PRK DUN Slim di Pusat Industri Ringan, Felda Trolak Utara, Perak, malam tadi, Mahathir mengulangi sokongannya kepada Amir Khusyairi.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata percaya, calon bebas yang bertanding menggunakan lambang pokok dan mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan menggadaikan maruah diri demi wang.
“Saya percaya Amir tidak akan berbuat demikian. Saya sudah panggil dia, tanya dia sama ada hendak jual atau tidak, dia kata tidak akan jual.
“Parti yang baru kita tubuh ini, iaitu Pejuang, kami semua berjanji tidak akan jual atau tidak ada nilai untuk setiap wakil rakyat kita,” katanya lagi.