Skuad Takraw Kalahkan Indonesia, Tamat Kemarau Pingat Emas 24 Tahun

PALEMBANG – Trio negara bagi acara antara regu menamatkan kemarau emas selama 24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1, pada final di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang berlangsung di sini hari ini.

Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan bermula.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) melakukan sedikit kesilapan pada penghujung set yang pantas dimanfaatkan regu Indonesia untuk menang 21-18.

Menyedari mereka perlu menang untuk memastikan harapan menggenggam emas terus menyala, trio negara yang pada satu ketika ketinggalan 11-17 memaksa pasukan Indonesia berhempas-pulas untuk bertahan sebelum akhirnya menundukkan mereka dengan catatan 22-20, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan untuk menundukkan Indonesia 21-11.
Malaysia pernah memenangi pingat emas acara terbabit sebanyak dua kali iaitu pada Sukan Asia 1990 di Beijing, China dan edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Kejayaan trio sepak takraw hari ini bermakna kontinjen negara menambah satu lagi pingat emas dalam koleksi menjadikan empat emas setakat ini dan perlu memburu tiga lagi untuk mencukupkan tujuh pingat emas yang menjadi sasaran kontinjen negara pada Sukan Asia ke-18 ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.