Shafie Apdal Bebas Tuduhan Kes Seleweng Dana RM1.5 Bilion, Alasan Tiada Bukti Kukuh

KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan mendapati tiada bukti yang cukup untuk tindakan selanjutnya terhadap bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kes penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata siasatan terhadap Mohd Shafie telah dijalankan menurut Seksyen 17a Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bermula 21 April tahun lalu.

“Kertas siasatan dibuka pada 21 April 2017 dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SPRM pada 23 Mei tahun ini.

“Setelah meneliti semua keterangan, pendakwa raya telah memutuskan pada 20 Jun tahun ini bahawa tiada pendakwaan diteruskan atau ‘No Futher Action’ (NFA) kerana bukti yang diperoleh tidak mencukupi bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu perkembangan terbaharu kes rasuah melibatkan Mohd Shafie. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.