Jemaah Haji Malaysia Pulang Secara Berperingkat Mulai Esok

MEKAH – Setelah lebih sebulan berada di Tanah Suci dan selesai menunaikan fardu haji bagi musim 1439H, jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air secara berperingkat bermula esok.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sebanyak 81 penerbangan akan membawa jemaah Malaysia pulang ke tanah air, bermula pada 3.05 pagi Rabu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.45 petang hari sama.

“Sebanyak 47 penerbangan akan berlepas dari Jeddah, bermula 29 Ogos hingga 15 Sept 2018 manakala baki 34 penerbangan akan berlepas dari Madinah mulai 11 Sept hingga 25 Sept 2018,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Sahabat Maktab Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata penerbangan terakhir jemaah Malaysia pula akan berlepas 25 Sept ini pada 2.10 petang dan dijangka tiba di tanah air pada 3.40 pagi keesokan harinya.

Sementara itu, beliau berkata operasi haji pada tahun ini berjalan lancar secara keseluruhannya dan jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadah haji dengan selamat dan lebih selesa dan teratur.

“Ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memberi layanan yang mesra dan bantuan yang baik kepada jemaah kita secara khususnya dari peringkat awal ketibaan kita sehingga ke operasi masyair.

“Kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan Arab Saudi melalui agensi-agensi dan kementerian yang berkaitan termasuk pihak muassasah Asia Tenggara telah dapat membantu memudahkan perjalanan haji jemaah Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Pada tahun ini juga, beliau berkata jemaah haji Malaysia berjaya menjalankan tugas sebagai jemaah haji contoh kepada negara-negara lain melalui pelaksanaan kempen Kebersihan Perdana Masyair yang dijalankan di Arafah Muzdalifah dan Mina.

“Kempen kebersihan yang dianjurkan oleh pihak TH ini mendapat kerjasama daripada pihak Muassasah Asia Tenggara, telah menjadikan kempen ini berjaya walaupun baru diperkenalkan pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.