Alat Ganti Kenderaan, Tayar dan Minyak Pelincir Naik Harga Bermula 1 September

KUALA LUMPUR – Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal diperkenalkan bermula 1 September ini dijangka menyebabkan peningkatan harga barang sektor automotif meliputi tayar, alat ganti dan minyak pelincir.

Beberapa syarikat telah mengeluarkan surat pemberitahuan atau memorandum sejak 1 Ogos lalu berkaitan peningkatan harga ini termasuk jenama terkemuka Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Goodyear Tyre & Rubber Company.

Syarikat-syarikat lain yang berbuat demikian termasuk Hankook Tire Malaysia Sdn. Bhd.; Michelin Malaysia Sdn. Bhd. (Michelin); Continental Tyre PJ Malaysia dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (PLMM).

Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Anton Salleh Hashim berkata, syarikat akan melaraskan harga buat pengedar, perkhidmatan stesen Petronas, bengkel, alat ganti serta harga disyorkan kepada pengguna setelah SST dilaksanakan.

Katanya, pelarasan harga juga disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, kos bahan mentah dan kos operasi.

“Oleh itu, PLMM perlu bertindak meningkatkan harga meliputi semua saluran ‘highstreet’, pengeluar produk tulen (OEM) dan runcit,” katanya menerusi memorandum bertarikh 3 Ogos lalu.

Mengenai harga tayar, Pengarah Urusan Bridgestone, Yuichiro Shirai berkata, harga tayar Bridgestone, Firestone, Dayton, tiub dan’ flap’ akan dinaikkan pada 1 September ini.

“Peningkatan itu berikutan pengenalan semula SST selepas pelaksanaan kadar sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya dalam surat notis bertarikh 8 Ogos 2018 di sini.

Seorang daripada pengedar tayar Bridgestone ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima memorandum daripada ibu pejabat pada bulan ini.

Sementara itu, Pengarah Jualan Goodyear, Chee Lip Choon berkata, harga produk akan dinaikkan disebabkan oleh peningkatan cukai ke atas bekalan barang dan perkhidmatan.

“Cukai jualan untuk tayar buatan tempatan dikenakan pada kadar yang ditentukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Hankook, Ryan Chang memaklumkan kepada semua rakan perniagaannya untuk melaksanakan pelarasan harga bagi semua jenis tayar Hankook bermula 1 September ini.

“Ia disebabkan peningkatan kos dalam bekalan barangan dan perkhidmatan justeru kami meminta orang ramai memahami dan memberi sokongan yang berterusan,” katanya.

Turut mengeluarkan notis sama, Pengurus Pemasaran Michelin, Duy Pham berkata, tayar jenama Michelin dan BFG akan naik bermula 1 September ini susulan pengenalan semula SST.

Sementara itu, menurut Unit Jualan dan Pemasaran Continental, tayar bagi kereta penumpang (PCR), trak ringan (LTR), tayar bagi trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) serta van juga bakal menyaksikan kenaikan harga berkuat kuasa 1 September ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.