PKR Dakwa Ada Kumpulan Pengacau Dalam Parti

KOTA BHARU – PKR Kelantan mendakwa wujud kumpulan ‘kecewa’ yang bertindak membuat kacau dalam parti itu terutamanya melibatkan isu tohmahan terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Ab Aziz Ab Kadir dan Ketua AMK, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran, beberapa hari lalu.

Naib Pengerusi 1 Keadilan Kelantan, Amran Ghani berkata, tindakan kumpulan tersebut yang menggunakan memorandum bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka adalah tidak betul malah bercanggah dengan peraturan parti.

Menurutnya, tindakan itu bertujuan menghuru- harakan Keadilan kelantan dan menimbulkan kekeliruan kepada anggota MPN.

“Untuk pengetahuan semua, mereka ini adalah watak sama yang mana sentiasa membuat kekacauan dalam urus tadbir Keadilan Kelantan.

“Memetik kenyataan media Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dua hari lalu fokus untuk berdepan PRU akan datang, termasuklah memberi kepercayaan kepada pengerusi sedia ada.

“Maka selaras dengan itu, kami yang hadir hari ini menyokong sepenuhnya apa diputuskan itu dan fokus kepada untuk menjatuhkan BN dan Umno sebagaimana dinyatakan presiden,” katanya.

Menurutnya, ini bukan kali pertama kumpulan pengacau tersebut membuat tindakan sebegitu dan kemungkinan besar juga ia melibatkan orang yang sama.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk proses menghantar surat tunjuk sebab kepada kumpulan pengacau terbabit.

“Sama ada dikenakan tata tertib atau sebaliknya, itu keputusan yang akan ditentukan oleh pihak pusat.

“Bagi pendapat kami, mereka bersikap seperti itu disebabkan kekecewaan. Mungkin ada beberapa perkara yang mereka tidak setuju, bercanggah dengan pendapat mereka atau mungkin juga ada tuntutan yang tidak dipenuhi dan sebagainya,” katanya.

Ditanya jumlah sebenar kumpulan pengacau tersebut, beliau berkata, ia hanya jumlah yang kecil, tidak kurang daripada 10 anggota sahaja. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.