Polis Kuching Tutup 7 Jalan Menuju Padang Merdeka

Kuching – Polis Kuching akan menutup tujuh jalan menuju ke Padang Merdeka sempena ‘Op Aman 8 Bersih 4’ setelah penganjur perhimpunan Bersih 4 diberi kebenaran mengadakannya di Padang Song Kheng Hai di sini.

 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata bagi menjaga ketenteraman awam, polis menutup jalan-jalan yang menuju ke Padang Merdeka bermula 8 pagi esok sehingga 12 tengah malam 30 Ogos.

 

Jalan yang ditutup ialah lampu isyarat Jalan RTM/Jalan Satok; Jalan Reservior; Jalan Mcdougall; Jalan Wayang; Jalan Main Baazar; Jalan Market/Jalan Power; dan Jalan Masjid, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menggunakan jalan alternatif ke kawasan sekitar Padang Merdeka.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan mengikut isyarat kawalan lalu lintas pegawai polis bertugas dan dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan,” katanya.

 

Semalam, polis membenarkan perhimpunan itu diadakan di Padang Song Kheng Hai selepas menerima salinan surat daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang memberi kebenaran perhimpunan itu diadakan di padang berkenaan yang di bawah pentadbirannya.

 

Sebelum ini, penganjur Bersih 4 berhasrat mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka namun Kerajaan Negeri Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara tidak membenarkan aktiviti diadakan di padang itu kerana ia sedang dibaik pulih. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.