Polis Awasi Kumpulan Anarki Dalam Himpunan Bersih

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan anarki yang mahu mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Jumaat dan Sabtu ini.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kumpulan berkenaan mahu mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.

 

“Tindakan provokasi itu untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram, sekali gus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 

Nur Jazlan berkata, polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggotanya bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan dan tidak akan bertolak ansur bagi mengelakkan berlaku sebarang tindakan yang mengancam nyawa masyarakat.

 

Selain Kuala Lumpur katanya, perhimpunan haram berkenaan turut dirancang diadakan di Ku­ching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

 

Katanya, tindakan itu pasti membabitkan kos tinggi ke atas kerajaan kerana perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.

 

Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila peserta perhimpunan haram itu sebenarnya diperalatkan pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.

 

“Sebenarnya, apa yang diperkatakan penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.

 

Nur Jazlan berkata, jika rakyat benar-benar sudah tidak mempercayai kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya perlu menunggu dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

 

Katanya, motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 demi kepentingan segelintir pihak, jelas mengetepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram selama ini.

 

“Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram itu kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru hara.

 

“Polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila berlaku sesuatu seperti kecederaan dan kerosakan harta benda,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.