Perhimpunan Haram Jejas Pendapatan Peniaga

Kuala Lumpur – Rata-rata golongan peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di sini iaitu kawasan yang bakal dibanjiri peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 pada hujung minggu ini merasa bimbang kerana perhimpunan di kawasan berdekatan iaitu Dataran Merdeka sudah tentu akan menjejaskan mata pencarian mereka.

 

Mereka berharap lebih baik perhimpunan itu tidak diadakan.

 

“Saya risau perhimpunan itu akan memberi kesan kepada jualan di kedai saya kerana pelanggan atau pelancong sudah tentu tidak akan berani datang kerana bimbang tentang keselamatan mereka, kata seorang pembantu kedai kain, Habibah Omar, 38.

 

Beliau berkata pada kebiasaannya, kawawan di sekitar kedainya menjadi tempat orang ramai berkumpul semasa perhimpunan kerana kawasannya yang luas dan teduh.

 

Ditanya sama ada kedainya akan dibuka semasa perhimpunan, beliau berkata mereka akan melihat keadaan yang berlaku terlebih dahulu.

 

“Kami akan membuka kedai dan sekiranya keadaan tidak terkawal, kemungkinan besar kami akan tutup kedai,” kata Habibah kepada Bernama.

 

Penjual buah, Hashim Entok, 55, berkata beliau masih trauma dengan pengalaman terkena gas pemedih mata yang dilepaskan anggota pasukan keselamatan untuk menyuraikan peserta perhimpunan semasa Bersih 2.0 pada 2011.

 

“Saya tidak boleh bayangkan sekiranya kejadian yang sama berulang. Oleh itu saya nasihat mereka yang tidak terlibat dengan perhimpunan supaya tidak datang ke Jalan TAR,” katanya.

 

Mengenai akibat kepada perniagaannya sekiranya perhimpunan diadakan, Hashim berkata perniagaannya sudah tentu akan terjejas.

 

“Pada cuti umum dan hujung minggulah, kebiasaannya lebih ramai orang yang akan mengunjungi kawasan ini dan membeli buah-buah saya,” katanya.

 

Bagi pengurus Palace Hotel, S. Jeyapriya, 35, tempahan bilik di hotelnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tidak memberangsangkan berbanding tahun lalu.

 

“Tahun lepas, kami menerima tempahan penuh terutama bagi pelancong luar kerana hotel kami berdekatan dengan Dataran Merdeka tempat diadakan sambutan Hari Kebangsaan.

 

“Namun tahun ini, hotel kami tidak mendapat banyak tempahan,” katanya yang berkata perhimpunan tidak patut diteruskan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.