Penubuhan DEIG Untuk Penuhi Ego Azmin

KUALA LUMPUR – Penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) dipercayai berkait rapat dengan usaha Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang mahu legasinya di negeri ini, demikian kata Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin.

 

Badrul yang juga merupakan pemimpin PKR yang kini digantung keahliannya, mendakwa Azmin dilihat tidak selesa apabila pentadbirannya sering dibayangi rekod perkhidmatan dan legasi yang ditinggalkan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

 

“Ketika pimpinan (bekas MB) Tan Sri Khalid Ibrahim, rakyat mengaitkan beliau dengan usaha memberikan air percuma dan integriti serta pelaburannya menjadi sebutan di seluruh negara.

 

“Tetapi, Azmin digunakan bagi menarik perhatian ramai, yang kemudian membawa kepada ciptaannya (DEIG),” katanya semasa menyertai ‘Forum: Selangor Di Bawah Azmin Ali’ di sini malam tadi.

 

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard juga mendakwa isu DEIG telah menyebabkan timbulnya kekeliruan dan kontroversi yang menjadi bualan rakyat.

 

“Saya rasa semua orang keliru mengenai alasan mengapa DEIG perlu ditubuhkan, tetapi bagi saya ia mudah (untuk memenuhi) egonya (Azmin).

 

“Tanpa berselindung, saya katakan, ini hanya untuk menunjukkan ego Menteri Besar untuk mencipta entitinya,” katanya lagi.

 

Isu DEIG menarik perhatian umum akhir-akhir ini berikutan penubuhan syarikat RM2 itu mencetuskan keraguan umum terhadap ketelusan pengurusannya dalam mengendalikan aset Pemerbadanan Menteri Be­sar (MBI) yang berjumlah RM30 bilion di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.