Penganjur Bersih Mahu Cetuskan Provokasi – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas penganjur Bersih 4 kerana mahu mencetuskan provokasi dengan mengadakan tunjuk perasaan anti-kerajaan itu selari dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-58.

 

“Kita semua sedia maklum sebuah perhimpunan tunjuk perasaan dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan hari kemerdekaan akan dijalankan,” kata Najib dalam blognya.

 

“Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi.
Walau apa pun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik,” kata Najib.

 

Bersih 4 adalah anjuran pelbagai NGO yang sering mengkritik Barisan Nasional dan parti pembangkang.

 

Tunjuk perasaan kali ini juga bertujuan mendesak kerajaan melakukan pembaharuan sistem pilihan raya dan di sulami dengan motif untuk menggesa  Perdana Menteri berundur.

 

Ia akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di sekitar Dataran Merdeka yang menjadi pusat tumpuan sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin depan.

 

Walaupun di isythiarkan perhimpunan haram kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman, penganjur Bersih 4 berkeras untuk terus mengadakan demonstrasi berkenaan.

 

Mereka enggan mengubah tarikh tunjuk perasaan atau lokasinya sungguhpun beberapa stadium di cadangkan sebagai tempat yang lebih sesuai untuk perhimpunan itu dari segi keselamatan dan ketenteraman awam.

 

Najib meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur cuba mengambil kesempatan untuk membelah-bahagikan rakyat di ambang sambutan Hari Kemerdekaan.

 

“Ia hari di mana semua rakyat mengetepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cinta akan negara.

 

“Daripada wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan, hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

 

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan hari kemerdekaan kita?”  kata Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.