Pakatan 2.0 Letak Syarat Bebaskan Anwar

Kuala Lumpur – Seorang ahli parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menyifatkan Pakatan Rakyat 2.0 sebagai terdesak jika ia mahu ahli parlimen BN membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara sebagai syarat untuk membantu menjatuhkan Perdana Menteri DatukSeri Najib Razak.

 

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata desakan Pakatan Rakyat 2.0 itu ‘nakal’ apatah lagi sebagai syarat untuk membantu menjatuhkan Najib.

 

“Cadangan pembangkang ini satu cadangan yang kebudak-budakan dan nakal.

 

“Saya melihat pembangkang kini terlampau terdesak. Takkan mereka boleh merayu dengan pemimpin BN untuk membebaskan Anwar? Soal Anwar bukan urusan BN, sebaliknya urusan mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Bung, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno juga menegaskan Umno-BN tidak mempunyai kuasa langsung dalam mencampuri hal-hal mahkamah.

 

Semalam, pemimpin Pakatan Rakyat 2.0 buat pertama kalinya tampil dalam satu kenyataan bersama, hasil daripada perbincangan untuk mencadangkan ahli-ahli parlimen BN membentuk suatu majoriti baru bagi menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

 

Disebut sebagai pembaharuan politik sebagai asas utama kerajaan baru, mereka juga mahu Anwar dan semua tahanan politik dibebaskan oleh majoriti yang baru tersebut.

 

Kenyataan bersama itu ditanda tangani oleh Lim Kit Siang, Loke Siew Fook, Teresa Kok, Liew Chin Tong, and Teo Kok Seong (DAP); Rafizi Ramli, Johari Abdul, Wong Chen, Sim Tze Tzin, and S Manikavasagam (PKR) serta Kamaruddin Jaafar, Hatta Ramli dan Khalid Samad (GHB).

 

Bagaimanapun cadangan pembangkang itu mungkin sukar dilaksanakan kerana kesemua parti komponen BN merakamkan sokongan berterusan kepada Najib dan menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.