Bot Sarat Pelarian Karam Di Libya

Tripoli – Sebuah bot sarat dengan pelarian, karam di pesisir bandar Zuwara di Libya, semalam dan dipercayai menyebabkan ratusan orang terkorban.

 

Seorang pegawai keselamatan di Zuwara berkata, beratus-ratus orang berada atas bot dan ada yang terperangkap ketika ia karam.

 

“Kira-kira 100 pendatang haram mungkin terselamat,” katanya sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan.

 

Seorang pegawai lain dan seorang wartawan dari Zuwara mengesahkan berita itu tetapi tidak mempunyai maklumat jumlah korban.

 

Pegawai keselamatan itu berkata, semua pendatang dalam bot itu adalah dari negara Sahara Afrika, Pakistan, Syria, Magribi dan Bangladesh.

 

Penjaga pantai Itali yang menguruskan operasi menyelamat Kesatuan Eropah (EU) di luar pesisir Libya gagal dihubungi untuk mengesahkan insiden bot karam itu.

 

Zuwara berada dekat sempadan Tunisia. Ia adalah lokasi pelancaran penyeludup bot haram ke Itali.

 

Laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi menyebut lebih 2,300 orang maut sehingga tahun ini dalam percubaan untuk pergi ke Eropah menerusi bot, berbanding 3,279 sepanjang tahun lalu. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.