Pembuat Batik Mengaku Tidak Bersalah Rogol Gadis Bawah Umur

Kota Bharu – Seorang remaja lelaki berumur 18 tahun dan seorang pembuat batik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan merogol dua remaja perempuan berumur 15 dan 17 tahun, dalam satu kejadian rogol beramai-ramai di Ketereh, Mei lalu.

Kedua-duanya membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Remaja lelaki berumur 18 tahun itu didakwa merogol mangsa yang berusia 17 tahun, manakala pembuat batik, Mohamad Faiz Azahan, 21 tahun, didakwa merogol kedua-dua mangsa berusia 17 dan 15 tahun dalam kejadian sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kosong, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, antara jam 7.30 malam hingga 11 malam, 20 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Yusoff kemudiannya menetapkan 17 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes, dengan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Hilwani Mat Rifin, dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Zubairi Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.