Pegawai Baharu SPRM Diwajib Jadi Pegawai Siasatan Selama Tiga Tahun – Abu Kassim

Johor Baharu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewajibkan pegawai baharunya menjalankan tugas sebagai pegawai siasatan minimum tiga tahun bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme siasatannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, penekanan terhadap kemahiran siasatan itu selaras dengan transformasi SPRM yang mahu melahirkan pegawai berkualiti dan berkemahiran tinggi.

“Kemahiran siasatan merupakan teras utama dalam SPRM. Jadi, pegawai baharu siri ini diwajibkan untuk menjalankan tugas siasatan untuk tempoh selama tiga tahun,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 14, di sini.

Menurut Abu Kassim, kebanyakan daripada pegawainya yang menamatkan latihan hari ini terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang profesional seperti perakaunan, kejuruteraan dan perundangan.

Abu Kassim berkata kesemua mereka akan ditempatkan di Bahagian Siasatan bagi membina kemampuan agensi itu di dalam menyiasat kes-kes kompleks membabitkan aspek kewangan.

SPRM menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia telah melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan kualiti pegawainya, terutama di dalam aspek penambahbaikan modul asas dari semasa ke semasa.

Katanya, Kursus Asas Pegawai SPRM dijalankan dua kali setahun dan berharap Pusat Latihan Asas SPRM itu mempunyai kemudahan sendiri dengan kelengkapan logistik setaraf dengan agensi-agensi yang lain.

Seramai 53 Penolong Pegawai Siasatan (33 lelaki dan 20 Wanita) menamatkan Kursus Asas Pegawai SPRM hari ini, selepas mengikuti latihan selama 12 bulan bermula 1 Sept tahun lepas.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Shukri Abdul, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaafar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.