Nabila Mahu Cinta Sejati Ke Akhir Hayat Seperti Saloma

Kuala Lumpur – Nabila  Huda Suhaimi, 30, anak sulung kepada penyanyi rock Amy Search memang tabah menghadapi dugaan hidup. Peristiwa dia digertak ayahnya gara-gara sekeping gambar percutian bersama teman lelaki yang melampaui batas, dihadapi Nabila dengan tenang.

Namun jauh di sudut hati, dia menginsafi kesilapan yang telah terjadi. Dia kembali bertemu dengan ayahnya ketika Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Kesempatan itu digunakan Nabila juga untuk menyambut hari lahir ayahanda tercinta yang ke-56.

Hari ini, kebahagiaan mereka sebagai keluarga kembali terjalin. Menemui Nabila ketika pelancaran filem televisyen berjudul Saloma baru-baru ini, Nabila lebih selesa kalau dirinya digambarkan sebagai Biduanita Negara itu.

Ceritanya tentang Saloma memang banyak. Melakonkan watak Saloma dalam filem itu, Nabila juga ingin merasa bahagia dan mendapat cinta sejati sama seperti wanita lain.

Agungnya cinta Saloma dan P.Ramlee seperti itulah juga dia mahu merasai cinta sejati sehingga ke akhir hayat.

“Rasanya bukan sahaja saya yang mahukan cinta seperti Saloma dan P.Ramlee. Semua orang juga inginkan cinta sejati dalam kehidupan mereka. Bagaimana Saloma menemui cintanya sebelum pergi buat selamanya membuatkan saya kagum. Cinta yang mereka miliki memang memberi kesan kepada saya selepas membawakan watak Saloma itu sendiri.

“Kalau tak, kenapa saya sanggup membawa watak Saloma. Menjiwai dan menjadi diri Saloma membuatkan saya menangis. Semua itu kerana saya begitu memahami perasaannya,” ujar Nabila.

Tambahnya, dia juga memahami perasaan bagaimana kehilangan orang yang tersayang dalam hidup seperti yang dirasai Saloma.

“Mungkin perasaan kita berbeza apabila cinta sejati berakhir sama ada dengan perceraian atau kematian.

“Tapi hakikatnya, semua itu sebenarnya sama. Kehilangan siapa pun orang yang kita sayang.

“Contohnya ibu bapa, keluarga atau siapa pun, semuanya sama. Cinta itu mesti ikhlas datang dari hati,” katanya.

Apabila ditanya hubungan dengan ayah, Nabila hanya mampu tersenyum dan tidak mahu mengulas lanjut. Dia memilih cara bijak, mengunci mulut daripada terus bercakap perkara yang boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan itu semula.

Sikap terbuka sebelum ini juga semua sudah beralih arah menjadi lebih tertutup. Dia hanya mahu semua tentang dirinya disimpan sendiri. Sekarang, dia mahu berbicara tentang kerjaya lakonannya, itu janjinya di hadapan media, kalau ditanya soal peribadi.

“Tiada apa yang hendak dikongsikan lagi tentang perkara peribadi. Saya minta maaf sangat-sangat. Kehidupan sekarang? Alhamdulillah,” tuturnya, bijak mengelak.

Jawapan ringkas itu menunjukkan Nabila kini lebih selesa untuk tidak berbicara banyak tentang kehidupan dirinya.

Meskipun diasak dengan kisah kononnya sudah menemukan teman lelaki dengan ayahnya baru-baru ini, Nabila sekali lagi bertegas. Baginya, ruang peribadi yang terbina sekarang ini tidak boleh diganggu gugat sedemikian mudah, tetapi tidaklah sampai dia mencemarkan hubungan baik dengan rakan media yang selama ini erat.

“Ada soalan lain tak? Saya minta maaf sangat-sangat. Bukan soal pendirian. Lagipun tak ada pendirian apa-apa untuk saya kongsikan, harap semua faham. Sekali lagi, saya minta maaf sangat-sangat,” jawab Nabila mengelak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.