Kes Rayuan Khir Toyo Ditangguh Lagi Kerana Masuk Hospital

PUTRAJAYA: Perbicaraan rayuan akhir kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo terhadap pensabitan dan hukuman penjara 12 bulan kerana rasuah, ditangguh kepada 6 November depan kerana dia dimasukkan ke hospital, Rabu.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu panel lima anggota Mahkamah Persekutuan bahawa anak guamnya menghidap pening kepala yang teruk, hingga tidak boleh berjalan dan dimasukkan ke Hospital Pakar DEMC, Shah Alam.

Muhammad Shafee turut menyerahkan kepada mahkamah, surat daripada Dr Rashidi Saidin, pakar perunding dan pakar nefrologi hospital itu, di Shah Alam yang menyatakan Dr Mohamad Khir dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital itu Rabu kerana pening kepala yang teruk yang ada kaitan dengan sakit tengkuk yang dihidapinya.

Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Mohamad Khir didiagnos menderita sakit servikal spondylosis dan dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Kami tidak tahu berapa lama beliau akan berada di hospital. Ini pertama kali perayu tidak hadir di mahkamah atas sebab peribadi. Kami memohon penangguhan,” kata Muhammad Shafee.

-mStar Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.